HULU LANGAT – Polis sedang mengesan pelajar perempuan, Nur Shafina Maisarah Abdullah, 15, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Batu 20 1/4, Kampung Padang, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja berkenaan daripada ibunya yang berusia 34 tahun pukul 10.40 pagi semalam.
Menurut beliau, suri rumah itu mendapati anaknya yang menaiki bas ke sekolah masih belum pulang dan gagal dihubungi.
“Pengadu menghubungi guru kelas, namun guru menyatakan dia tidak hadir sekolah. Siasatan polis mendapati kali terakhir dia dilihat oleh ibunya pada pukul 6.15 pagi Rabu ketika keluar rumah menaiki bas Rapid untuk ke sekolah dengan berpakaian sukan sekolah.
“Seterusnya, saksi lain yang juga rakan sekolah ada melihat Shafina Maisarah turun dari bas sekolah, namun tidak memasuki kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, remaja itu tidak mempunyai apa-apa masalah dengan keluarga sebelum ini di rumah.
Jelas beliau, kes diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) / Orang Hilang (OH).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Sarjan Mohamad Najib Mohd di talian 012-3429297 bagi membantu siasatan,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE.