KUALA LUMPUR – Seramai 3,764 individu ditahan bersama pelbagai barangan seperti ubat-ubatan palsu, barang tidak bercukai kastam, haiwan dan hidupan liar bernilai lebih RM726 juta dalam pelbagai operasi termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah bagi tempoh 1 Januari hingga 14 September lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pada 7 September lalu, hasil risikan yang dijalankan oleh Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA Bukit Aman bersama Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras membawa kepada tiga serbuan di Kajang.
Ujarnya, hasil serbuan tersebut berjaya menumpaskan satu sindiket kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam serta pembongkaran kewujudan dua makmal haram memproses arak tiruan jenis liquor bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.
“Seramai 10 individu terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan lima lelaki dewasa warga asing turut ditahan. Rampasan juga dilakukan terhadap sejumlah 73,800 karton rokok pelbagai jenis dan 24,573 kotak minuman keras jenis liquor yang kedua-duanya tidak bercukai kastam. Jumlah nilai rampasan dianggarkan RM36,083,010 termasuk nilai cukai.
“Melalui serbuan tersebut juga, turut dirampas peralatan dan mesin memproses minuman keras dan tiga buah kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM395,575. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM36,478,585,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu juga, kesemua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di bawah Seksyen 116c Akta Kastam, Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kita sentiasa komited dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi agar hasil negara sentiasa dilindungi dan terpelihara.
“Operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan diteruskan dari masa ke semasa. Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras,” katanya. – KOSMO! ONLINE