ARAU – Laporan awal nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan hari ini sedikit sebanyak merungkaikan persoalan yang bermain dalam fikiran waris mangsa terlibat.
Menurut kakak Allahyarham Sharipuddin Shaari, Ramlah, 57, ahli keluarga rasa sedikit tenang apabila membaca laporan tentang kemalangan tersebut.
“Apabila meneliti laporan dimuat naik di laman sesawang kementerian, saya rasa sedikit lega apabila mengetahui banyak perkara serta menjawab persoalan yang sebelum ini menghantui fikiran kami sebagai ahli keluarga mangsa.
“Persoalan seperti kelayakan juruterbang juga mendapat penjelasan sewajarnya dan sedikit sebanyak menolak spekulasi liar yang selama ini bermain di media sosial,” katanya di sini hari ini.
Katanya, buat masa ini dia berpuas hati dengan laporan tersebut, namun masih menantikan pendedahan laporan akhir yang lebih menyeluruh seperti rakaman akhir suara kokpit bagi mengetahui situasi sebenar sebelum nahas berlaku.
Allahyarham Sharipuddin yang merupakan pemandu p-hailing sedang memandu sebuah kereta ketika nahas itu berlaku. – KOSMO! ONLINE