fbpx

Nahas Elmina: Laporan akhir dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis menutup kawasan kejadian kapal terbang terhempas, di Elmina. -Foto SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

PUTRAJAYA – Laporan akhir nahas pesawat ringan jenis Beechcraft Premier di Elmina, Shah Alam akan selesai selewat-lewatnya pada Ogos tahun hadapan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, ia selaras dengan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen tersebut.

Katanya, MOT telah menerima laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan laporan itu memenuhi standard Annex 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memerlukan penyediaan laporan awal dalam tempoh 30 hari daripada insiden tersebut.

“Laporan ini mengandungi pernyataan fakta dan penemuan awal yang telah ditentukan sehingga waktu penerbitan laporan ini.

“Laporan awal ini harus dianggap sebagai tentatif dan boleh diubah atau diperbetulkan jika terdapat maklumat dan bukti tambahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas kenyataan itu, laporan awal nahas itu boleh dimuat turun di pautan https://www.mot.gov.my/en/aviation/reports/a05-23.

MOT berkata, pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada usaha teliti BSKU dan bertekad untuk memperkasakan keselamatan penerbangan berdasarkan penemuan biro.

“Kementerian juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat dan Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura atas bantuan yang diberi di dalam penyiasatan BKSU melalui ‘Accredited Representative’ masing-masing dan penasihat teknikal mereka, sama ada di dalam negara atau luar negara.

“Sekali lagi, Kementerian Pengangkutan menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI