fbpx

HQC bimbing, bantu lebih 1,300 syarikat miliki sijil halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HQC akan membantu dan membimbing syarikat tempatan untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim. - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – HQC Commerce Sdn. Bhd. (HQC) membantu lebih 1,300 syarikat tempatan memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak mula dilantik sebagai rakan pembimbing pada tahun 2018.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, daripada jumlah itu, hampir 90 peratus pelanggannya terdiri daripada syarikat bukan bumiputera.

Menurut beliau, berdasarkan persekitaran ekonomi semasa dan permintaan terhadap industri halal yang semakin berkembang, syarikat menyasarkan untuk membantu kira-kira 100 perusahaan ke arah pensijilan halal masing-masing pada tahun ini.

“Kami bekerjasama erat de­ngan pelanggan dalam memberi nasihat dan tunjuk ajar mengikut garis panduan diperlukan dalam permohonan dan membantu mereka menyediakan khidmat rundingan dalam proses penyediaan dokumentasi sebelum di­serahkan kepada Jakim.

“Perkhidmatan kami bukan sekadar memberikan nasihat, kami juga mengendalikan proses sebenar praaudit dan mengaudit secara percubaan di premis pe­langgan kerana ini akan memberi pengalaman sebenar cara Jakim membuat audit pada masa depan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Khairul Shahril menjelaskan, proses melatih dan membimbing sesebuah syarikat untuk mendapatkan sijil halal adalah perkara yang subjektif kerana ia bergantung kepada pelbagai faktor termasuk saiz besar perniagaan, rangkaian dan lain-lain.

Bagaimanapun sebagai rakan pembimbing, HQC akan me­latih eksekutif halal di sesebuah syarikat tersebut untuk memiliki kemahiran tinggi tentang sistem pemprosesan sijil halal, audit dalaman dan pengurusan berkaitan industri berkenaan.

Ditanya tentang kekangan yang dihadapi oleh rakan pembimbing Jakim, beliau menjelaskan, ramai perusahaan melihat proses untuk mendapatkan sijil adalah mudah, tetapi sebenar­nya terdapat cabaran dan tidak semudah untuk melaksanakannya seperti yang disangkakan sebelum ini.

“Proses tersebut memerlukan pemahaman yang tinggi dengan melakukan setiap proses mengikut aturan yang betul. Sebab itulah kami perlu mendidik dan melatih mereka melakukan secara betul seperti mana proses yang Jakim mahukan,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI