SYARIKAT pengeluar minyak gergasi dunia, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membuat kejutan apabila menyertai keluarga Le Tour de Langkawi (LTdL) sebagai penaja perdana pada perlumbaan jelajah edisi ke-27 yang membuka tirai secara rasmi pada 23 hingga 30 September ini.
Menariknya, kehadiran Petronas turut mencetuskan perubahan apabila mengumumkan penukaran warna jersi pendahulu keseluruhan daripada warna kuning kepada hijau bagi perlumbaan berstatus ProSeries tersebut.
Perubahan warna jersi keseluruhan tersebut tidak pernah berlaku pada perlumbaan jelajah berbasikal terunggul di rantau Asia tersebut sebelum ini dan kali pertama sejak saingan diadakan bermula tahun 1996.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya menyambut baik kedatangan Petronas dengan perjanjian selama tiga tahun bermula 2023 hingga 2025, sekali gus membuka lembaran baharu bagi LTdL.
Ujar Hannah, warna jersi Petronas menimbulkan keunikan tersendiri selaras dengan warna korporat penaja utama itu selama tiga tahun selaras dengan tempoh penajaannya.
“Penganjur yang sudah 26 tahun menampilkan jersi utama pendahulu keseluruhan berwarna kuning sebelum ini. Buat kali pertamanya, LTdL menukar kepada warna hijau Petronas.
“Saya yakin keputusan ini akan memberi nilai pulangan kepada penaja dan saya percaya Majlis Sukan Negara (MSN) mampu melaksanakan yang terbaik, sebab itu Kabinet menyerahkan tugas ini kepada MSN sebagai agensi pelaksana.
“Manfaat (LTdL) bukan sahaja daripada nilai ekonomi yang kami dapat bila kita anjur acara seperti itu tetapi juga untuk golongan belia dan rakyat yang menonton,” katanya pada Majlis Pengumuman Petronas selaku penaja perdana LTdL di MSN, Bukit Jalil semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi
Ismail; Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abd. Aziz dan Naib Presiden 1 Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Amarjit Singh.
LTdL 2023 akan menampilkan 132 pelumba daripada 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam dan Continental selain pasukan kebangsaan.
Secara keseluruhan edisi kali ini menyaksikan laluan merangkumi 11 negeri dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu (184.4km); Peringkat 2 Kuala Terengganu-Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli-Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River-Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur (157km).