LONDON – Pendahulu perlumbaan Formula Satu (F1), Max Verstappen mengakui tugasnya untuk melebarkan rekod kemenangan buat kali ke-11 berturut-turut sukar terutama di Grand Prix (GP) Singapura memandangkan dia tidak pernah muncul juara di litar itu.
Litar Marina Bay tiada dalam senarai 23 litar yang menyaksikan Verstappen muncul juara dan prestasi lalu memberi harapan kepada pencabar lain untuk menamatkan rekod dominasi juara dunia dua kali F1 tersebut.
Sewaktu di Monza, Itali, Verstappen menang dengan rekod 10 kali berturut-turut saingan F1 sekali gus berada di persada carta kedudukan pemandu dengan kelebihan 145 mata meninggalkan rakan sepasukannya, Sergio Perez.
“Singapura mungkin akan menjadi hujung minggu paling mencabar berbanding perlumbaan sebelum ini terutama beraksi di litar jalanan.
“Bagi saya beraksi di litar jalanan antara yang paling sukar dalam kalendar perlumbaan terutama laluan yang sempit. Melihat pada perlumbaan tahun lepas betapa bahayanya
“Tahun lalu, kami melalui minggu yang kurang bernasib baik dan diharapkan tahun ini ia menjadi lebih baik,” kata Verstappen.
Dalam pada itu, sekiranya Red Bull terus mendominasi saingan di Singapura tidak mustahil pasukan itu secara matematik boleh merangkul gelaran kategori pengeluar jika mereka menamatkan kemenangan satu-dua dan Mercedes gagal menjaringkan mata.
Bagaimanapun, ketua pasukan Red Bull, Christian Horner enggan meletakkan sebarang keyakinan terlalu tinggi untuk meraikan kemenangan terlalu awal kerana sedar cabaran di Singapura sukar dijangka. – AGENSI