PENGENDALI skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, E. Elavarasan enggan melayan sebarang kritikan peminat bola sepak termasuk ada pihak yang mendesaknya supaya melepaskan jawatan sebagai jurulatih pasukan Harimau Muda.
Sebaliknya, bekas pengendali FELDA United, PDRM FC, Public Bank, Melaka dan Sarawak United itu kekal dengan pendiriannya dalam pembangunan pasukan bahkan memerlukan masa membina skuad lebih baik.
“Untuk saya tidak ada masalah, seperti yang saya katakan sebelum ini, bagi membina satu pasukan yang baik dan berkualiti perlu ambil masa. Kalau nak cerita mengenai merit pun saya tidak kisah.
“Kalau kita tidak beraksi baik pada perlawanan pertama dan kedua, macam mana kita mahu dapatkan slot ini? Jadi, saya kena puji apa yang pemain buat pada perlawanan pertama dan kedua, yang penting matlamat kita adalah untuk layak,” katanya.
Di sebalik kejayaan skuad B-23 layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan, masih ada suara sumbang yang mengatakan anak-anak buah Elavarasan hanya bernasib baik untuk layak selaku empat naib juara terbaik.
Pada masa sama, Elavarasan yang juga pembantu kepada pengendali skuad senior, Kim Pan-gon tetap percaya dirinya dan barisan kejurulatihan lain masih ada kualiti untuk membantu pasukan menjadi lebih baik.
“Saya mahu bertanya adakah pemain kita sekarang ini ada kualiti? Jika ada sudah pastinya kami (barisan kejurulatihan) juga ada kualiti itu,” katanya.