PETALING JAYA – “Waktu idah inilah peluang atau momen kita buat keputusan itu. Bukanlah benda yang pelik.”
Itu kata aktres Diana Danielle berhubung desas-desus dirinya akan rujuk semula dengan bekas suami, Farid Kamil selepas sebulan bercerai.
Diana atau nama sebenarnya, 32, atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, ‘perang’ antaranya dengan Farid sudah berakhir dan bukan menjadi satu perkara pelik untuk bersatu semula dalam tempoh idah.
“Kita dah jadi macam, dah habis perang. Sekarang kita dah berada dalam fasa baharu ayuh kita berbincang.
“Anak-anak saya gembira apabila ibu bapa mereka kembali bersama. Kita ajar anak-anak kita inilah cinta,” katanya dalam temu bual sebuah audio siar (podcast) hiburan.
Jelas pelantun lagu Bersama Dengan Rindu itu lagi, dalam tempoh kemelut rumah tangganya dengan Farid, 42, sejak beberapa bulan lalu, banyak perkara yang dipelajari bersama.
“Beberapa bulan ini saya nampak kami telah mengatasi beberapa perkara yang menjadi isu utama dalam perkahwinan kami.
“Ketika turun naik mahkamah, hati selalu berkata: ‘kalau ada harapan untik selamatkan hubungan, (minta) Allah tunjukkanlah jalan’.
“Saya selalu bersifat terbuka untuk membaiki perhubungan. Jadi, kami sedang dalam proses mencuba untuk baiki hubungan yang ada ini walaupun dah ada titik noktah yang kecil itu,” jelasnya.
Kata Diana lagi, perkenalan dengan Farid selama hampir 16 tahun membuatkan dirinya tidak mudah untuk melepaskan segala-galanya begitu sahaja.
“Selain dia adalah suami dan bapa kepada anak-anak saya, dia juga kawan baik saya.
“Benda itu bukan senang untuk kita terus ‘tutup buku’ dan move on. Kalau Allah atur untuk kami berhubungan lebih panjang, kami akan cuba untuk jadi lebih baik,” katanya.
Hari ini, dunia hiburan dikejutkan dengan khabar angin Diana dan Farid akan rujuk semula sebagai suami isteri selepas mendedahkan cinta mereka sepertinya kembali terpatri dalam untaian video pendek dalam media sosial hiburan, Budiey Channel.
Pada 10 Ogos lalu, Diana dan Farid sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora. – KOSMO! ONLINE