fbpx

Berhenti kerja bank setelah capai syarat ditetap suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sajaratul Dura nekad untuk meninggalkan dunia perbankan setelah 25 tahun berkhidmat kerana mahu fokus kepada perniagaannya.

MENGAMBIL keputusan untuk melepaskan kerjaya yang sudah menjamin masa depan pasti bukan mudah untuk dilakukan.

Itu antara situasi yang terpaksa dilalui Sajaratul Dura Hamzah apabila nekad untuk meninggalkan kerjayanya sebagai eksekutif kanan di sebuah bank setelah 25 tahun berkhidmat.

Katanya, walaupun tempoh tersebut bukan sekejap, namun keputusan yang diambilnya beberapa tahun lalu itu dirasakan antara pilihan terbaik dalam hidupnya.

Ditanya kenapa mengambil keputusan itu, Sajaratul Dura memberitahu dia mahu fokus kepada bisnes tudung dan pakaian Muslimah yang diusahakan pada masa itu.

“Saya mula berniaga dari rumah sejak 2013 lagi. Pada masa itu saya lakukannya sebagai kerja sambilan sebab saja nak tambah pendapatan.

“Kedua-dua anak kembar saya pada masa itu juga tiada di rumah kerana sambung pengajian mereka di universiti. Jadi, rasa sunyi itu hadir apabila tinggal berdua dengan suami sahaja,” katanya kepada Aura.

Jelasnya, minat menjahit diwarisi daripada ibunya itu membuatkannya mahu membuka bisnes kecil-kecilan sendiri bermula hanya dari rumah.

Ujar anak kelima daripada sembilan beradik ini lagi, permintaan terhadap tudung dan pakaian yang dijual diterima positif pelanggan serta membuahkan keuntungan.

“Jadi, setelah empat tahun melakukan dua kerja iaitu sebelah pagi di bank dan malam hari pula menjahit, saya mula rasa penat dan nekad mahu lepaskan jawatan di bank.

“Sayalah yang menjahit, saya yang pergi beli kain ditemani suami, saya yang menghantar bungkusan produk dan semua saya lakukan sendiri tanpa ada pekerja dari rumah.

“Saya duduk bersama suami dan sampaikan hasrat itu kepadanya. Pada mulanya suami agak ragu-ragu, tetapi dia meletakkan satu syarat untuk saya.

“Syarat yang diletakkan pada masa itu ialah suami mahu saya buat sale (jualan) sekurang-kurangnya RM30,000 sebulan dan jika sampai sasaran, suami benarkan untuk saya berhenti kerja,” ujarnya.

Cerita wanita kelahiran Ampang itu lagi, selepas diberi cabaran sedemikian rupa, dia betul-betul bertungkus lumus bagi mencapai sasaran jualan tersebut sekali gus membuktikan kebolehannya.

Katanya, setelah berhempas pulas, dia berjaya membuktikan kepada suaminya dan mencapai jualan seperti yang ditetapkan.

Kakitangan Mootiara Sdn. Bhd. yang menjadi antara tulang belakang kejayaan Sajaratul Dura dalam perniagaan.

“Jadi bermula pada 2017, setelah diizinkan suami, saya berhenti kerja dan tinggalkan dunia korporat untuk fokus pada perniagaan.

“Alhamdulillah hasil duit perniagaan juga, saya berjaya buka sebuah butik sendiri di Taman Dagang, Ampang,” katanya.

Benar bagai dikata orang, disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Itu nasib yang terpaksa ditempuhi wanita berusia 53 tahun ini apabila perniagaan yang ketika itu sedang meningkat naik dan dikenali tiba-tiba jatuh.

Katanya, bermula hujung 2018 selepas memiliki butik dan staf sendiri, perniagaannya mula goyah apabila jualan bulanan semakin merosot setiap bulan.

“Saya masih ingat, ada satu bulan itu jualan hanya cecah RM4,800 sebulan. Biasanya kami boleh jual melebihi RM50,000.

“Saya tidak tahu apa silap dan punca jadi begitu. Cuma apa yang saya akui, silap itu datang daripada diri sendiri yang kekurangan ilmu bisnes dan tiada bimbingan atau guideline (panduan) menguruskan perniagaan yang betul.

“Bayangkan bila dah seronok berniaga, semua benda saya buat sendiri. Saya akui memang tiada ilmu dalam perniagaan dan langsung tidak pernah hadiri seminar atau kursus.

“Suami juga beritahu, kalau terus begitu, butik terpaksa ditutup dan dijual serta terpaksa berniaga semula dari rumah atau kedai yang lebih kecil bagi menampung kos,” katanya.

Ujar Sajaratul Dura, entah daripada mana kekuatan diperoleh, dia sekali lagi nekad untuk menyelamatkan perniagaan yang telah diusahakannya selama lima tahun itu.

Katanya, dia juga tidak mahu staf yang dilantik terkesan sama apabila terpaksa diberhentikan kerana memikirkan soal kebajikan dan rezeki mereka.

“Berbulan saya mengorbankan segala masa dan tenaga, alhamdulillah perniagaan dapat diselamatkan dan kembali mendapat perhatian.

“Hingga kini, butik saya, Mootiara ada 16 kakitangan yang membantu dan menjadi tulang belakang saya selain turut diperkuatkan dengan lebih 3,000 dropshipper di seluruh negara.

“Kesabaran saya akhirnya berbalas dan dikabulkan Tuhan. Alhamdulillah tahun ini memasuki tahun ke-10 saya berniaga dan semoga diberi kekuatan untuk meneruskannya,” kata wanita itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI