SEREMBAN – Bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran Negeri Sembilan adalah mencukupi namun diakui terdapat premis perniagaan yang mengalami kehabisan stok bekalan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, premis perniagaan telahpun membuat tempahan dari pembengkal dan akan menerima stok dalam masa terdekat.
Beliau sehubungan itu mengingatkan pengguna untuk tidak membuat pembelian panik dan hanya membeli beras tempatan dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.
Jelasnya, pembelian panik hanya akan menyebabkan gangguan rantaian bekalan setempat dan merugikan pengguna lain di kawasan tersebut.
“Bekalan di negeri ini memang cukup cuma saya menasihatkan agar pengguna jangan membuat pembelian panik. Jika pembelian panik memang stok akan habis,” katanya kepada pemberita selepas smengadakan pemeriksaan di stor simpanan beras sebuah syarikat pembekal beras di Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.
Dalam pada itu, Irwan memberitahu, terdapat enam aduan berkaitan tiada stok beras daripada pengguna telah diterima pihaknya.
“Setakat ini memang kami ada terima sebanyak enam aduan berkenaan beras tempatan tiada di pasaran. Bagaimanapun, kami telah mengarahkan pembekal untuk menambah stok, bagi pasar raya tiada masalah (stok) akan hantar bekalan secara berkala.
“Bagi stok penggunaan beras tempatan sahaja secara keseluruhan terdapat keperluan sebanyak 3,500 tan sebulan di negeri ini. Walaupun di Negeri Sembilan pembekal adalah kecil tapi kami dapat bekalan dari luar juga secara konsisten.
“Kami juga menasihatkan pengguna agar tidak perlu simpan stok kerana bekalan sentiasa ada,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE