PELUANG bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi untuk beraksi pada dua saingan Piala Asia tahun depan tidak pernah padam memandangkan khidmatnya juga ditagih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara.
Meskipun nama Arif seakan hampir pasti berada dalam perancangan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, pasukan Harimau Muda turut memasang impian menyenaraikan nama Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 itu yang dirasakan mampu menghadirkan nilai tambah buat skuad B-23.
Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa berusaha keras untuk membawa masuk pemain lebih berkualiti bagi membolehkan pengendali pasukan, E. Elavarasan mampu merangka perancangan lebih baik.
“Perancangan itu (memanggil Arif Aiman) tidak pernah mati dan saya selalu dibincangkan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin tentang perkara ini. Setiap kali ada panggilan, saya akan tanya Arif Aiman boleh panggil atau tidak.
“Terpulang kepada pucuk pimpinan kerana bagi kami perkara ini senang saja, apabila ada pemain, kita pun akan buat kerja kita. Saya berdoa pada April nanti kalau ada rezeki, maka pemain ini akan dapat bantu pasukan,” katanya.
Skuad B-23 negara mengesahkan kelayakan ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang bakal berlangsung 15 April hingga 3 Mei tahun depan selaku empat pasukan naib juara terbaik.
Pada masa sama, Shahril bertegas, rangka persiapan perlu dimulakan dari sekarang kerana tempoh yang ada ketika ini sebelum pertandingan membuka tirai boleh dianggap singkat.
“Saya bangga dengan kejayaan ini, orang boleh kata macam-macam tetapi kalau kita tengok, negara seperti Oman, Bahrain kalau ikutkan skuad senior mereka adalah pasukan yang bagus.
“Jadi saya rasa anak muda kita perlu bangga kerana mereka juga masih lagi belajar.
“Tempoh enam bulan yang ada tidaklah panjang, namun dengan persiapan bakal dibuat saya yakin pasukan ini boleh pergi jauh,” katanya.