KUALA LUMPUR – Dakwaan mengenai beberapa ahli dan pemimpin yang akan dipecat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ternyata tidak benar apabila tiada pemimpin dipecat malam ini.
Malah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, isu-isu lain yang dibangkitkan oleh ahli MKT UMNO, Isham Jalil juga tidak disentuh dalam mesyuarat tersebut.
“Isu apa yang dibangkitkan? Dia (Isham) pun tidak datang, dia pun tidak bangkitkan apa-apa,” katanya semasa sidang akhbar selepas mesyuarat itu tamat.
Terdahulu, Isham sebelum ini mendakwa beliau dan beberapa pemimpin akan dipecat kerana kenyataannya yang lantang terhadap kerjasama UMNO dan DAP sebelum ini.
Isham turut membangkitkan isu UMNO perlu bergerak secara solo dalam pilihan raya serta menyatakan dasar perjuangan parti itu yang berbeza dengan DAP. – KOSMO! ONLINE