PETALING JAYA – Pelakon Fasha Sandha sekali lagi ‘bikin panas’ apabila dikecam hebat netizen selepas berkongsi video berkasih sayang bersama suaminya juga pelakon, Aidil Aziz di dalam kolam renang.
Menerusi video berdurasi selama 15 saat itu, kelihatan Fasha, 39, memakai baju renang berwarna hitam sambil bermesra-mesra dengan suaminya yang tidak memakai baju.
“My forever love (cinta saya selamanya),” tulis Fasha.
Difahamkan, video yang dikongsi Fasha itu bertujuan untuk memberitahu sesuatu apabila turut menyatakan tarikh 16 September 2023 yang akan datang.
Bagaimanapun, perkongsian aksi mesra dan romantis pelakon filem Anak Halal itu mengundang rasa kurang senang pengikutnya dalam media sosial apabila menganggap konten sebegitu tidak sesuai untuk ditayangkan pada khalayak umum.
Malah, ada yang menyifatkan Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan tidak sensitif dan semakin melampau.
“Dalam Islam pun melarang tunjuk kemesraan pada umum. Walaupun berlakon, kena ada batasnya. Isteri untuk tontonan suami, bukan tontonan masyarakat,” tegur seorang netizen.
“Hubungan suami isteri depan anak-anak pun kena ada rasa segan. Ini pula hubungan dalam media sosial. Walaupun halal, janganlah dipertontonkan kepada umum,” kata seorang lagi netizen.
“Kemesraan suami isteri jangan ditayang kepada umum. Islam melarangnya,” kata seorang pengguna Instagram.
Malah, dek kerana perkongsian itu juga, ada segelintir pengikutnya dalam Instagram mengambil keputusan untuk tidak lagi mengikuti akaun media sosial pelakon itu lagi (unfollow).
“Done unfollow. Semakin melebih-lebih,” kata seorang netizen.
“Maaf saya unfollow. Ingatkan Aidil boleh bimbing Fasha. Semoga berbahagia,” tegur seorang pengguna Instagram.
Sebelum ini, Fasha telah beberapa kali dikritik dan ditegur netizen gara-gara semakin galak berkongsi video mempamerkan aksinya menari.
Ramai berpendapat Fasha berbuat demikian kerana mahu menunjukkan bentuk badannya yang semakin ramping dan kurus selepas mengamalkan disiplin pemakanan ketat, selain mengambil produk menguruskan badan.
Bagaimanapun, menerusi perkongsiannya dalam Instagram, Fasha menafikan hal tersebut apabila memberikan bukti dalam bentuk video mengenai aktiviti menari yang sudah dimulakan sejak dulu tanpa mengira saiz tubuh badannya. – KOSMO! ONLINE