fbpx

‘Tamatkan segera penderitaan Madrasah Ar-Rabbaniyah Merlimau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN terkini Madrasah Ar-Rabbaniyah di Merlimau, Melaka.

JASIN – Kejadian menyedihkan ratusan kitab agama dan al-Quran yang bertaburan di atas lantai serta bangunan pelajar diwakafkan orang ramai didakwa bernilai lebih RM1.8 juta di Madrasah Ar-Rabbaniyah, Merlimau dekat sini dipercayai berlaku sejak penutupannya pada 2019.

Menurut sumber dipercayai, madrasah itu mula dibuka pada 16 September 2008 di atas tanah berkeluasan 1.2 hektar dan pembinaan bangunan pelajar, masjid dan keperluan lain dibuat secara berperingkat hasil dana diwakafkan lebih 100 pewakaf daripada seluruh Malaysia.

Katanya, bagaimanapun pengerusi madrasah itu telah meninggal dunia kerana sakit yang mendadak pada 2018 dan barisan pengurusan baharu telah dibuat tanpa melalui proses sepatutnya.

“Kronologi kisah sedih ini bermula hanya beberapa bulan selepas Pengerusi meninggal dunia apabila satu barisan pengurusan yang baharu telah dibuat tanpa mengikut syarat pertubuhan itu sendiri.

“Keadaan itu kemudian telah menyebabkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pertubuhan madrasah pada 2019 dan sehingga kini dan bekas ahli jawatankuasa (AJK) tidak dibenarkan masuk ke premis termasuklah bagi memelihara kesucian mashaf yang ada di sana,” katanya yang juga seorang ustaz.

Tambahnya, suasana menyedihkan di madrasah itu termasuk kerosakan harta benda dipercayai telah dilakukan oleh pihak luar yang memecah masuk premis untuk melarikan barangan berharga.

Jelasnya, kes pertubuhan itu turut dirujuk kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan kini bekas pengurusan sedang berusaha untuk memulihara semula madrasah tersebut dengan membuat rayuan sejak setahun lalu.

“Pelbagai pertemuan dan rayuan telah dilakukan termasuklah kepada Jabatan Mufti negeri, Jabatan Agama negeri serta Insolvensi, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian ditunjukkan.

“Usaha-usaha ini telah dibuat oleh bekas AJK termasuklah permohonan penubuhan Protem Komitee kepada Insolvensi bagi tujuan pengurusan sementara segala harta benda pertubuhan agar tidak rosak dan curi mana-mana pihak tetapi ditolak.

“Sudah empat tahun madrasah itu menderita, tamatkanlah agar ia dapat dimanfaatkan semula oleh umat Islam,”ujarnya.

Katanya, kali terakhir madrasah itu mempunyai kira-kira 200 orang pelajar dan kesemua mereka terpaksa berhijrah ke pusat pengajian yang lain susulan kejadian tersebut.

Katanya lagi, selain pengajian agama, madrasah itu sebelum ini turut aktif menganjurkan program kemasyarakatan termasuklah Wacana Ilmu, Daurah Kitab-kitab Turath, Kem Bina Insan Cemerlang dan Kem Bina Insan Rabbani pada cuti musim sekolah setiap tahun.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI