fbpx

Sate tulang Tanjung Tualang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
QURATU AINI (tengah) bersama pekerjanya menunjukkan aneka sate yang ditawarkan di Ratu Satay Tulang, Tanjung Tualang, Perak.

SETIAP kunyahan sate tulang yang masih panas mengeluarkan jus berempah cukup rasa dan sebati.

Biarpun namanya sate tulang, namun ketebalan isi pada rangka ayam cukup memuaskan hati sesiapa sahaja yang menjamah menu tersebut.

Hidangan signatur Restoran Ratu Satay Tulang di Tanjung Tualang, Perak itu diperbuat daripada rangka dan isi ayam yang diperap dengan lebih daripada 15 bahan.

Sate tulang dengan ramuan warisan keluarga yang terkenal di Jelebu, Negeri Sembilan sejak 1941 itu sedap dimakan begitu sahaja.

Namun, sekiranya mahu dimakan bersama kuah, pelanggan diberi pilihan sama ada mahu dimakan bersama kuah kacang atau kuah Minang.

Menurut pemilik restoran, Quratu Aini, 26, restorannya memerlukan 30 kilogram (kg) rangka ayam untuk dijadikan sate tulang pada hari biasa.

Jumlah tersebut melonjak kepada 100 kg pada hari minggu dan cuti umum bagi menampung permintaan pelanggan.

“Keluarga saya sudah berniaga sate sejak 1941 di Jelebu dan kami hanya berniaga sate tulang, sate ayam dan daging.

“Sebagai generasi keempat, saya bawa resepi keluarga ini ke Perak dan mula berniaga di tepi jalan pada 2015.

“Sejak buka restoran pada 2021, saya kembangkan lagi perniagaan ini dengan menawarkan variasi sate buat pelanggan,” katanya pada Horizon.

Tambah Quratu Aini, minat terhadap perniagaan sate datang secara semula jadi dalam dirinya.

Ini kerana, dia biasa membantu ayahnya mencucuk sate sejak berusia 11 tahun.

Sate tulang dan sate salmon merupakan antara sajian terlaris di Ratu Satay Tulang.

Berbekalkan kemahiran yang ada, Quratu Aini cuba mempelbagaikan lagi jenis sate yang ditawarkan dalam perniagaannya.

Setakat ini, Ratu Satay Tulang menawarkan 24 jenis sate untuk dipilih dan dinikmati oleh pelanggan di restoran tersebut.

Antara yang unik adalah sate udang, sate telur sotong, sate ikan keli, sate salmon, sate kancil dan sate landak.

Bagi pelanggan yang tidak sukakan kuah, mereka disarankan untuk mencuba sate ‘cheese’.

Tambah Quratu Aini, sate salmon diperkenalkan khas buat orang yang sedang berdiet tapi mahu makan sate.

“Salmon itu sendiri diperap menggunakan rempah tanpa sebarang gula. Ini berbeza daripada daging sate lain.

“Apabila dibakar, daging salmon akan jadi sangat berjus dan enak untuk dimakan,” ujarnya.

Selain sate, restoran tersebut menawarkan nasi harimau menangis, nasi goreng sate, nasi goreng daging salai, set salai masak lemak nogori.

Bagi seleksi minuman, pelanggan boleh mencuba ‘ice blended’ avokado yang berlemak dan manis.

Bonus buat pelanggan Ratu Satay Tulang, restoran itu turut menawarkan Wi-Fi, snek dan air secara percuma.

Restoran itu dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat bermula dari pukul 6 petang hingga 10 malam.

Restoran Ratu Satay Tulang juga memiliki satu lagi cawangan iaitu dalam Restoran Nasi Vanggey di Pusat Perdagangan Greentown, Ipoh, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI