KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pagi ini kecoh apabila Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggunakan istilah ‘politik pondan’ kepada kerajaan berhubung agihan peruntukan.
Takiyuddin berkata demikian bagi menegaskan agar kerajaan bersifat lebih terbuka untuk memberikan peruntukan yang sama kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).
“Kerajaan pusat dan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional masih lagi bermain tarik tali berdolak-dalik berhubung peruntukan kepada wakil-wakil rakyat yang mewakili PN.
“Jadilah dewasa, hentikanlah politik pondan yang tidak bermaruah. Hormatilah hak rakyat dan negeri yang sah secara terhormat dan jujur.
“Percayalah minda rakyat tidak akan berkembang dengan sikap kebudak-budakan seperti ini,” katanya ketika di Dewan Rakyat hari ini.
Takiyuddin juga membangkitkan isu penggunaan helikopter oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sungai Besar, Selangor.
“Karnival ini adalah program tidak besar. Mengapa perlu menggunakan sehingga tiga helikopter, malah JKR Sungai Besar mengeluarkan puluh ribu hanya hendak buat ‘helipad’.
“Dan apa yang lebih melucukan lagi rakyat di Sungai Besar memberikan satu petikan akhbar yang memetik ucapan Perdana Menteri pada masa itu yang bertajuk PM tolak baik pulih kediaman dan kereta untuk bantu golongan sasar, yang sebenarnya tidak mengambil peruntukan kereta kerana nak menggunakan helikopter,” katanya. – KOSMO! ONLINE