PONTIAN – Masih terngiang-ngiang bunyi letupan tembakan senapang komunis di telinga seorang warga emas apabila menjadi saksi mata kisah hitam ketika 12 anggota polis diserang musuh komunis hampir tujuh dekad lalu.
Detik berdarah itu disaksikan Masari Masiron, 81, ketika anggota polis berkenaan bertugas menjaga Pos Polis di Ladang Nenas Chuang Seng, Pontian sekitar tahun 1954.
Ketua Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Deputi Superintendan Mansor Omar berkata, Masari menceritakan kembali peristiwa serangan gerila komunis itu berlaku tiga tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan iaitu pada 19 Oktober 1954.
Ujarnya, serangan komunis bermula pada pukul 2 pagi apabila diserang hendap kira-kira 80 anggota musuh ke atas pos polis berkenaan yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Balai Polis Kayu Ara Pasong, di sini.
“Dua anggota polis yang bertugas di pos kawalan melihat beberapa kelibat manusia menghampiri pos polis cuba mencabar musuh dengan kata laluan.
“Namun tiba-tiba bunyi tembakan dilepaskan tepat ke arah anggota berkenaan hingga salah seorangnya cedera di tangan dan punggung sebelum rebah.
“Seorang lagi anggota polis membalas tembakan ke arah musuh hingga senapangnya kehabisan peluru sebelum bertindak meloloskan diri memberitahu sembilan rakan setugas lain yang sedang berehat di pos terbabit,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Mansor yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Johor berkata, peristiwa berbalas tembakan berlaku kira-kira hampir empat jam menyebabkan empat anggota polis gugur di medan perang selain tujuh yang lain cedera.
Mengimbau kembali kejadian itu, Mansor berkata, ketika peristiwa berlaku Masari berusia 13 tahun dan rumah keluarganya terletak kira-kira tiga kilometer.
Selepas peristiwa itu berlaku, seluruh daerah Pontian diisytiharkan sebagai kawasan hitam dan pasukan polis mempertingkatkan kawalan keselamatan.
Pada 31 Julai 1960, darurat di Pontian ditamatkan, namun bergolak semula apabila komunis cuba merekrut kadet baharu sekitar 160 anggota, tetapi dapat dihidu pihak kerajaan sebelum mereka dihapuskan.