SINGAPURA – Tindakan sepasang suami isteri memasukkan ‘playpen’ (kandang main kanak-kanak) ke dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi menyebabkan penutup kaca mesin basuh pecah, manakala air sabun memenuhi premis berkenaan.
Portal berita Mothership semalam melaporkan, kejadian berlaku di Block 120 Canberra Crescent, Singapura pada Ahad lalu.
Dalam kejadian yang dimuat naik di laman Facebook itu, seorang saksi berkata, dia berada di lokasi apabila mendengar bunyi kaca pecah datang dari arah kedai dobi Mister Wash.
Selepas pergi ke kedai tersebut, dia terkejut melihat penutup kaca unit mesin basuh pecah dan serpihannya berselerakan di lantai.
Mesin basuh yang boleh menampung muatan 16 kilogram itu masih berfungsi dengan objek yang dibasuh terjulur keluar dan berpusing dengan laju sebelum tercampak keluar.
Tambah individu tersebut, orang ramai ketika itu menyangka objek berkenaan ialah kereta sorong bayi, namun ia sebenarnya sebuah ‘playpen’.
“Ia benar-benar menakutkan. Serpihan kaca berterbangan di serata tempat. Jika ia tertusuk mata atau mencederakan arteri anda, ini akan menyebabkan bencana. Saya benar-benar tidak mahu sebarang kemalangan berlaku,” katanya.
Tambah individu itu, sepasang suami isteri kemudian meminta orang ramai tidak merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit , menyebabkan pengunjung sedar bahawa mereka ialah pemilik ‘playpen’ berkenaan.
Program berita 8world News melaporkan, pasangan tersebut berbincang dengan pemilik kedai dobi berhubung kos kerosakan, manakala premis berkenaan terus beroperasi seperti biasa. – AGENSI