PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengenetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan yang mengarahkan seorang bekas anggota tentera diberi ganti rugi RM300,000 akibat penahanan dalam lokap oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 311 hari pada 2014.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wong Kian Kheong selepas membenarkan rayuan kerajaan selaku perayu untuk mengenetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Semasa prosiding, Azizah dalam penghakimannya berkata, mahkamah ini (Mahkamah Rayuan) mendapati Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas, tersilap membuat tafsiran mengikut Seksyen 96(3) Akta Angkatan Tentera 1972 sebelum memutuskan ganti rugi berkenaan.
“Oleh itu (panel-panel) membenarkan rayuan (kerajaan) dan ketepikan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi itu. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi arahkan (kerajaan) bayar kos RM30,000 dan hari ini kami mengarahkan kos RM40,000 dibayar kepada pihak terbabit,” katanya.
Pada 12 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan bekas anggota tentera tersebut Mohamad Maliki Abdul Halim, 35, diberi ganti rugi am, khas dan teladan teruk secara global sebanyak RM300,000.
Menerusi penghakimannya, beliau berkata, penahanan yang dibuat ke atas Mohamad Maliki adalah tidak sah dan berlaku kepincangan dalam prosedur tindakan tatatertib yang dibuat secara semberono.
Sebelum itu, Mohamad Maliki selaku plaintif memfailkan saman pada Mei 2018 dengan menamakan Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shifullizan Abd Aziz; pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia; Panglima Angkatan Tentera dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Menerusi penyataan tuntutan saman, satu operasi pencegahan dadah dilakukan terhadap 26 anggota termasuk Mohamad Maliki pada Mac 2014 dan hasil operasi itu, sembilan anggota termasuk plaintif positif dadah.
Plaintif dibicarakan dan tidak mengaku bersalah di Mahkamah Tentera sebelum dikenakan tahanan ketat dengan diletakkan dalam bilik lokap.
Plaintif ketika itu bertugas sebagai anggota Renjer Batalion 5 Rejimen Renjer Diraja Kem Desa Pahlawan. – KOSMO! ONLINE