SUNGAI BULOH – Usaha murni untuk meringankan beban fasiliti kesihatan direalisasikan apabila Muslim Care Malaysia (MCM) menyumbangkan 300 kerusi roda kepada 10 buah hospital dan pusat kesihatan daerah (PKD) di Lembah Klang.
Kerusi roda berkenaan diserahkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad AI-Bakri sambil disaksikan Presiden MCM, Zulkifli Wahijan di Masjid Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Zulkifli berkata, bantuan ini adalah terbesar yang pernah dibelanjakan dengan nilai sebanyak RM100,000 selepas sumbangan 40 unit kepada Hospital Tuanku Fauziah dan PKD di Perlis pada 21 Mei lalu.
Ujarnya, hospital dan PKD menjadi fokus utama kerana banyak pusat kesihatan kerajaan terutama di luar bandar berdepan masalah kerusi roda yang tidak mencukupi serta uzur.
“Pada peringkat awal, jumlah sumbangan hanya dalam skala kecil dan lebih tertumpu kepada individu kurang berkemampuan. Sebelum ini kita juga ada bantu bina bangunan tambahan di Hospital Kepala Batas, Seberang Perai Utara.
“Semua kerusi roda yang disumbangkan hari ini adalah hasil kutipan dan wakaf daripada orang ramai sejak negara dilanda wabak Covid-19 pada 2020 dan berterusan sehingga sekarang.
“Bagi projek akan datang, MCM akan melancarkan mini gimnasium untuk pesakit di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, pada bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Sumbangan 300 Kerusi Roda Wakaf oleh MCM di Masjid Hospital Sungai Buloh, hari ini.
Antara hospital yang mendapat manfaat sumbangan kerusi roda ini adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kuala Lumpur.
Bagi PKD pula adalah PKD Daerah Gombak, PKD Daerah Klang, PKD Daerah Petaling, PKD Daerah Titiwangsa dan PKD Daerah Kepong.
Sementara itu, Dr. Zulkifli berkata, program sebegini menambahkan keyakinan orang ramai terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan projek wakaf.
“Kerusi roda ini akan memanfaatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan bahasa.
“Secara tak langsung program sebegini mencelikkan kerajaan dan orang ramai untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.