GEORGE TOWN – Terdapat kira-kira 60 taska, 52 pusat jagaan kanak-kanak dan 246 tadika yang dikesan masih tidak berdaftar dengan pihak berkuasa di Pulau Pinang.
Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, setakat ini hanya 126 taska, 96 pusat jagaan kanak-kanak dan 287 tadika yang berdaftar.
”Jadi kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menyarankan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang berdaftar. Pengusaha taska, tadika dan taska juga perlu segera mendaftar dengan agensi berkaitan.
”Ini kerana bila pusat jagaan ini sah dan berdaftar, pihak berkuasa boleh memastikan kebersihan, keselamatan, dan standard pendidikan dipatuhi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurutnya, sekiranya kanak-kanak dihantar ke pusat jagaan yang berdaftar ia akan mengurangkan risiko penularan penyakit.
”Pendaftaran pusat jagaan membolehkan Jabatan Kesihatan mengumpul data, seperti kes pecahan HFMD. Dengan maklumat ini, tindakan cepat dan tepat dapat diambil untuk mengawal penularan.
”Pusat jagaan yang sah biasanya mengambil pekerja yang terlatih dan tahu mengenali gejala awal HFMD, mereka lebih cekap mengasingkan kanak-kanak yang dijangkiti dan mendapatkan rawatan sekiranya perlu, serta mengurangkan risiko penularan,” katanya.-KOSMO! ONLINE