fbpx

Mahkamah: Kes rasuah Adam Radlan dibicara Mei tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Radlan.

KUALA LUMPUR – Tiga pertuduhan rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) membabitkan Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Adam Radlan Adam Muhammad akan dibicarakan selama 15 hari di Mahkamah Sesyen di sini bermula Mei tahun depan.

Pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Suzana Hussin hari ini, tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Mahkamah turut menetapkan 31 Oktober ini bagi perkembangan status permohonan Adam Radlan agar ketiga-tiga pertuduhan itu dibicarakan secara bersama dengan dua lagi pertuduhan yang dikemukakan di mahkamah berasingan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memaklumkan, pihaknya akan memfailkan permohonan bertulis agar ketiga-tiga pertuduhan itu dibicara bersama dengan dua lagi pertuduhan yang dikemukakan di hadapan hakim berlainan.

“Kami akan memfailkan permohonan itu dalam tempoh dua minggu,” kata Farah Yasmin.

Ujarnya, seramai 20 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Di hadapan hakim Suzana pula, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan iaitu dua menerima rasuah RM2.1 juta dan RM500,000 serta satu tuduhan meminta rasuah wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen lain ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi, Farah Yasmin berkata, pihak pendakwaan memohon agar dua pertuduhan yang dihadapi Adam Radlan di mahkamah itu, dipindahkan ke hadapan Suzana untuk perbicaraan bersama.

Ujar beliau, pendakwaan mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mencantumkan kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Farah Yasmin turut memaklumkan, pihaknya sudah menyerahkan senarai 10 saksi pendakwaan kepada pihak pembelaan.

Di hadapan hakim Azura, Adam Radlan didakwa meminta dan menerima rasuah RM2 juta.

Sebelum ini pada 14 Julai lalu, pihak pendakwaan memaklumkan semua dokumen yang diperlukan pada perbicaraan kes ahli perniagaan itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI