JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Pegawai Perubatan sebuah hospital di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan amang seksual terhadap anak saudaranya yang berusia 14 tahun, April lalu.
Tertuduh yang berusia 31 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Kesalahan itu dilakukan di kediaman keluarga tertuduh di sebuah kuarters di daerah ini pada pukul 1.20 pagi, 20 April lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi atau mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Siti Noraida turut menetapkan tarikh 22 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE