SEGAMAT – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari waris kepada seorang gelandangan yang diselamatkan dalam satu operasi kira-kira 30 tahun lalu di daerah ini.
Wakil JKM Segamat ketika dihubungi berkata, Othman Adnan berusia kira-kira 60 tahun kini ditemui bergelandangan ketika itu.
“Othman telah diselamatkan dalam operasi gelandangan pada 18 Februari 1993 di Perhentian Bas Segamat. Bagaimanapun, sewaktu diselamatkan, pihak JKM tidak menemui sebarang dokumen diri padanya.
“Othman memaklumkan dia merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik. Ibu bapanya telah bercerai sewaktu dia masih kecil dan diserahkan kepada keluarga angkat. Sejak itu, dia telah terpisah dengan keluarga kandungnya,”katanya.
Justeru, JKM meminta sesiapa mengenali gelandangan ini diminta menghubungi Penolong Pegawai JKM, Mohd Norsham Bin Nashrun di talian 07-9311331 atau 012-7051390.-KOSMO! ONLINE