fbpx

IWK nafi air Sungai Masai hitam berpunca daripada loji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZLI (dua dari kiri) bersama sebahagian nelayan melihat Sungai Masai bertukar hitam dan berbau di Kampung Pasir Gudang Baru, Johor Bahru, baru-baru ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

PETALING JAYA – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. menafikan air Sungai Masai, Pasir Gudang Johor menjadi hitam berpunca daripada Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang berdekatan.

IWK dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemeriksaan mendapati efluen akhir yang keluar dari loji ini menepati piawaian yang ditetapkan dan tidak berwarna hitam.

Pada masa yang sama, katanya, tiada kesan limpahan di dalam loji berkenaan dan keadaan sungai di kawasan berdekatan juga baik serta tidak hitam berbanding muara Sungai Masai berdekatan kampung terbabit.

“Sebaik menerima aduan penduduk di situ, pasukan operasi IWK bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy, telah membuat pemeriksaan dan tinjauan di kawasan berkenaan termasuk LRK (PSG031) Taman Bukit Dahlia.

“Pemeriksaan turut dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor.

“IWK sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan pembetungan yang cekap, yang antaranya menyelengara loji rawatan kumbahan dengan sempurna,” katanya.

Tegas IWK, semua efluen terawat yang dilepaskan daripada loji-loji IWK mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kira-kira 1,300 penduduk di Kampung Pasir Gudang Baru di sini berdepan masalah pencemaran apabila air Sungai Masai bertukar menjadi hitam.

Pencemaran yang memasuki hari ketiga hari ini meresahkan penduduk kampung terutama 45 orang nelayan pantai yang berdepan situasi sukar apabila terpaksa berdepan masalah pencemaran tersebut.

Pengerusi Nelayan Wilayah Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, pencemaran air Sungai Masai dipercayai berlaku berikutan loji kumbahan yang tidak diselenggarakan dengan sempurna yang melepaskan air yang belum diproses ke sungai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI