MEMBESAR dalam keluarga seni menyuntik semangat anak muda, Uzair Haqimy mengikut jejak langkah bapanya, Azman Yahya atau Jinggo untuk duduk di kerusi pengarah.
Berbekal acuan keluarga, lelaki berusia 27 tahun itu mula mengutip pengalaman sebagai pengarah bersama menerusi tiga buah drama sebelum ini.
Tidak terhenti di situ, Uzair yang mesra disapa Haq kini muncul dengan sebuah naskhah hasil garapan, olahan dan idea 100 peratus sentuhannya berjudul Aku Hanim.
“Percubaan saya untuk mengarah sepenuhnya drama Aku Hanim sememangnya mencabar apabila idea dan garapan jalan cerita semuanya datang daripada saya.
“Tiga drama yang saya arahkan bersama bapa banyak membantu dari segi meningkatkan keyakinan diri dalam memberi arahan kepada pelakon selain menentukan hala tuju alur cerita serta pembawaan watak yang saya mahu.
“Ini julung kali ibu selaku penerbit dan bapa memberi kepercayaan penuh untuk saya mengarah drama tanpa sedikit pun campur tangan mereka,” katanya.
Dalam pengarahan, suami kepada pelakon Elisya Sandha itu mahu mencorakkan sesuatu yan segar untuk khalayak. Dia juga mahu menyalurkan kreativiti tanpa dibayangi sesiapa.
“Dengan ilmu dan bantuan teknologi, tiada yang mustahil. Betul perkara itu memerlukan bajet, namun bukanlah bergantung sepenuhnya terhadap peralatan tetapi perlukan impak dan emosi seperti dalam karya Hollywood.
“Saya juga mahu industri lebih menghargai pengarah berilmu bukan sekadar melihat tahap senioriti. Benar mereka berpengalaman, namun apa kurangnya kebolehan pengarah baharu,” soal Haq.
Dilihat meneruskan legasi Jinggo dan Sheila menerusi JS Pictures, Haq mengakui bersyukur atas anugerah yang tidak dimilik semua orang, namun ‘jalan pintas’ yang diwarisi tersebut hadir seiring usaha keras.
“Keluarga saya memang mempunyai syarikat produksi tetapi perlu bezakan antara ambil kesempatan dengan curi peluang kerana secara peribadi saya manfaatkan peluang yang ada.
“JS Pictures sudah bertapak sebagai rumah produksi dihormati, pastinya empayar itu dijaga sebaiknya. Tidak logik ibu bapa saya melepaskan syarikat kepada orang yang tidak boleh buat kerja walaupun anak sendiri.
“Mendapatkan kepercayaan mereka bahkan untuk buat sesuatu projek juga sangat susah apatah lagi sewenang-wenangnya menyerahkan apa yang diusahakan begitu sahaja.
“Saya perlu tunjukkan dulu kebolehan dan kesungguhan, itu paling utama supaya mereka yakin bahawa saya boleh meneruskan empayar teragung mereka,” katanya.
Berbalik kepada drama sulungnya, Aku Hanim menampilkan isteri sendiri sebagai heroin dibantu ramai pelakon baharu seperti seperti Sofia Dendroff, Jaz Khan, Razzuan Rosli sudahpun ditayangkan menerusi Astro Ria bermula 6 September lalu.
Beralih kepada perihal peribadi pula, bapa kepada seorang cahaya mata itu mengakui tidak dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga kerana terikat dengan jadual kerja.
Bagaimanapun, Haq akan meluangkan waktu secukupnya bersama isteri dan anak.
“Bunga (anak) dalam proses tumbesaran, kami cuba fahamkan anak bagaimana kami bekerja, punca rezeki sekeluarga, saya percaya bila besar nanti dia akan faham,” kata Haq.