SEPANG – Anak sulung bekas jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memukul bekas isterinya pada Februari lalu.
Tertuduh, Mohd Zaiza, 37, yang juga bekas pemain bola sepak PKNS itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap mangsa yang ketika itu masih bergelar isterinya yang sah.
Kesalahan itu dilakukan terhadap mangsa, Suzursofia Smeth Jaya, 32, bertempat di Skypark Residence, Jalan Teknokrat 1, Cyberjaya dekat sini pada malam 25 Februari lalu.
Sebaik pertuduhan dibacakan, Mohd. Zaiza mengangguk faham atas pertuduhan tersebut dan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan.
Muhammad Bukhori membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes tersebut selesai.
Muhammad Bukhori menetapkan tarikh 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Mohd. Zaiza dan Suzursofia sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Klang pada 14 Jun lalu.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 15 Januari 2016. Mereka dikurniakan dua anak iaitu Muhammad Zaynedine Sulaiman, 6, dan Seri Zayana, 2.- KOSMO! ONLINE