fbpx

Akmal kesal pemaju tidak hadir, pembeli harap siap tahun ini juga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal Nasrullah (dua dari kiri) bertemu dengan beberapa pembeli rumah projek Rumah Selangorku di Morib, Kuala Langat hari ini-PIX: AFIQ RAZALI/KOSMO!

KUALA LANGAT – Perbuatan pengurusan tertinggi syarikat pemaju Projek Rumah Selangorku di Morib tidak hadir ketika lawatan projek terbengkalai perumahan itu disifatkan tidak prihatin kepada masalah dihadapi pembeli.

Malah, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir turut meluahkan rasa kesal meskipun pemakluman awal telah dinyatakan kepada syarikat tersebut.

“Saya sudah maklumkan kepada mereka supaya hadir pada hari ini.

“Bila mereka tidak hadir, bagaimana saya hendak bincang, dengar permasalahan serta jawapan daripada mereka berhubung projek ini,” katanya ketika ditemui di lokasi tersebut, hari ini.

Kosmo! pada 16 Julai lalu melaporkan
impian kira-kira 500 pembeli projek perumahan di Morib di sini yang kebanyakan golongan B40 memiliki rumah sendiri terus tertangguh apabila gagal disiapkan sejak tiga tahun lalu.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan projek berkenaan akan dibawa kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk campur tangan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah menggesa syarikat terlibat supaya menyiapkan projek tersebut dengan secepat mungkin.

“Apapun, saya nak minta syarikat ini supaya segera menyerahkan pelan saliran air yang mereka mahu bina kepada syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) supaya Air Selangor dapat teliti pelan ini.

“Sekiranya pelan saliran ini tidak diluluskan oleh Air Selangor, beberapa infrastruktur lain tidak dapat dibina,” tegasnya.

Sementara itu, seorang pembeli,Mohamad Hafis Md. Aimin, 36, menaruh harapan agar rumahnya yang dibeli pada harga RM220,000 dalam projek perumahan tersebut dapat disiapkan pada tahun ini.

“Saya bayar pinjaman bank tiap-tiap bulan RM1,200 walaupun rumah tak siap lagi sejak tahun 2020.

“Akibat rumah tak siap, saya terpaksa menyewa sebuah rumah di Morib dengan harga sewa rumah itu RM700 sebulan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI