KUALA LUMPUR – Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berharap ahli-ahli Parlimen bersiap sedia dengan program serta idea dalam persediaan negara menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN 2025.
Beliau berkata, pihaknya yakin Malaysia sudah bersedia untuk memacu keberhasilan ASEAN agar kemajuan sosioekonomi warganya dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi di lapangan serantau dan antarabangsa.
“Pada tahun 2025 Malaysia akan menjadi pengerusi kepada ASEAN. Jadi, kita mestilah bersedia dengan program-progran dan idea-idea lebih jitu.
“Sampai masa kita harus memperlihatkan leadership yang luar biasa dalam memimpin ASEAN ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bersama-sama Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Johari turut menyeru golongan muda untuk mendalami pengertian perpaduan supaya keharmonian negara terbela.
“Menyedari kepentingan anak muda sebagai pemegang obor pembangunan negara, saya, sebagai rakyat yang kasih kepada Malaysia telah bersama Parlimen Malaysia untuk mengambil inisiatif menganjurkan program-program pembangunan anak muda untuk melahirkan barisan kepimpinan muda yang berwibawa.
“Kementerian Belia dan Sukan juga telah menyerahkan Program Parlimen Belia kepada Parlimen Malaysia. Parlimen Belia akan dijadikan program inkubator untuk melahirkan barisan kepimpinan generasi muda yang berketerampilan.
“Prosesnya pengundian ahli-ahli perwakilan Parlimen Belia akan dirombak secara besar-besaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE