SEGAMAT – Tiga warga emas maut sementara 11 lagi terselamat selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 167, Jalan Johor Bahru-Seremban, Segamat, petang tadi.
Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Kanan II Zakaria Mohamed, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.50 petang membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Honda Jazz dan Toyota Hilux.
“Identiti semua mangsa setakat ini sedang dikenal pasti. Kesemua wanita yang maut menaiki Perodua Alza berusia 89, 66 dan 62 tahun beralamat di Simpang Renggam dan Benut, Johor.
“Kesemua mangsa yang maut telah dikeluarkan oleh orang awam dan anggota BBP Bandar Baru, Segamat yang tiba dahulu di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS).
Sepasukan 16 anggota dan pegawai dari BBP Bandar Labis dan BBP Bandar Baru, Segamat dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.55 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kemalangan.
“Kita sedang kenal pasti semua identiti mangsa dan punca kemalangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-KOSMO! ONLINE.