PETALING JAYA – Penyanyi rap sensasi, Caprice berang selepas pembantu peribadi kepada pendakwah sensasi, Ustaz Ebit Lew memberi banyak alasan dan enggan melayannya ketika dihubungi.
Menerusi video yang di muat naik di laman Instagramnya, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 34, cuba menghubungi pembantu peribadi Ebit Liew yang dikenali sebagai Waits sambil ditemani Mondy Tatto, seorang wanita yang pernah dibantu pendakwah tersebut suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, panggilan tersebut menemui jalan buntu apabila Waits dilihat cuba berdolak-dalih dan enggan menjawab sebarang persoalan yang diajukan Caprice.
“Ustaz Ebit Liew, tolong periksa pembantu peribadi atau staf awak ni, masih dalam tandas lagi ke? Dah dua jam Cap tunggu,” katanya dalam ruangan kapsyen.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata ramai menasihati Caprice agar tidak terlalu berani walaupun berniat untuk menegakkan kebenaran.
“Apa-apapun, Cap hati-hatilah. Banyak talam dua muka di dunia ini. Hajat kita hendak membantu, tetapi takut kita yang terkena balik. Hati-hati ya,” kata Rose.
“Putar belit. Mula-mula tanya siapa Caprice. Selepas itu, gagap bila dengar nama, terus suruh WhatsApp. Selepas itu cakap salah nomborlah, tuan telefon dalam tandaslah, yang tolong jawab namanya Ali lah. Kelakarlah si pemutar ni,” komen seorang lagi pengguna lain.
“Sebenarnya, saya berasa risau dengan Cap dan keluarga. Tolong hati-hati sebab kali ini Cap dah gali dalam sangat. Banyak-banyak berdoa dan baca ayat pelindung ya,” kata Hayati.
Sebelum ini, Caprice mendedahkan dia bakal menceritakan kisah sebenar Mondy melalui sesi podcast khas di laman YouTube miliknya. – KOSMO! ONLINE