KUALA SELANGOR – Cubaan sekumpulan nelayan menangkap ikan menggunakan bubu naga berjaya dipatahkan dalam Op Taring Gelora khas Interagensi di Pantai Bagan Tengkorak, di sini semalam.
Dalam operasi bermula pukul 4.30 pagi itu berjaya merampas sebanyak 81 bubu berkenaan bersama sebuah sampan bersama sebuah enjin suzuki 60 kuasa kuda yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM15,000.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi antara Jabatan Perikanan Selangor dan Pasukan Polis Marin (PPM).
Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi dilakukan selepas menerima aduan penggunaan bubu naga oleh para nelayan di perairan Selangor.
Katanya, ini juga susulan isu yang dibangkitkan dari media sosial berkaitan penangkapan ikan secara haram.
“Semasa operasi, kita mengesan sebuah sampan dipercayai sedang menjalankan aktiviti penggunaan bubu naga.
“Ketika bot peronda PPM cuba menghampiri, sampan tersebut terus memecut dengan tekong dan kru melarikan diri ke kawasan beting serta bakau berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noraisyah mengingatkan mana-mana pihak yang menggunakan bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
Justeru, beliau menyeru semua nelayan mematuhi peraturan, dasar dan prosedur yang digariskan selaras Akta Perikanan 1985 demi memastikan kelangsungan sumber perikanan dan menjamin sekuriti makanan. -KOSMO!ONLINE