SHAH ALAM – Polis Selangor mendedahkan golongan suami turut menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan merekodkan 121 kes sepanjang tempoh lapan bulan, tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini termasuk kecederaan selepas berlakunya pergaduhan dan pertengkaran selain emosi.
Katanya, jumlah itu bagaimanapun masih rendah berbanding golongan wanita iaitu isteri dengan 352 kes dan adik-beradik (177 kes)
“Secara keseluruhan, sebanyak 813 kes dilaporkan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
“Ini melibatkan mendatangkan kecederaan dengan 593 kes diikuti ugutan (153 kes) dan kesalahan khianat (49 kes),” katanya pada majlis penutupan seminar memerangi keganasan rumah tangga 2023, hari ini.
Menurut beliau, masyarakat sebelum ini menganggap kes keganasan rumah tangga sebagai masalah keluarga atau masalah peribadi semata-mata.
Namun, tegas Hussein, tiga kes keganasan rumah tangga menyebabkan kematian direkodkan pada Ogos dan September tahun ini di Serdang, Kajang dan Petaling Jaya.
“Kes pertama adalah seorang budak telah didera oleh ibu dan teman lelaki ibunya sehingga mati. Kes kedua adalah mengenai seorang suami telah mendera isterinya sehingga mati.
“Manakala kes ketiga adalah seorang anak telah membunuh bapanya. Justeru, kita harus mengubah tanggapan ‘tidak menjaga tepi kain orang’ boleh mendatangkan mudarat sehingga menyebabkan kematian jika dibiarkan berlarutan,” jelasnya.
Kata beliau, cabaran polis adalah kelewatan laporan yang menyukarkan proses tindakan awal dapat dilakukan bagi menyelamatkan mangsa.
Dalam perkembangan sama, Hussein turut memaklumkan Gombak menjadi daerah mencatatkan kes tertinggi keganasan rumah tangga iaitu 147 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos, tahun ini.
“Ini diikuti Kajang (91 kes) dan Petaling Jaya (79 kes), manakala daerah mencatatkan kes terendah adalah Shah Alam (21 kes), Sabak Bernam (25 kes) dan Sungai Buloh (26 kes),” katanya.
Muka depan Kosmo! hari ini melaporkan, Selangor ‘menjuarai’ kes keganasan rumah tangga diikuti Kedah, Sarawak dan Kelantan dengan kaum wanita terus menjadi mangsa utama berbanding lelaki disebabkan masalah dadah dan ada kes cuma kerana masakan tidak sedap. – KOSMO! ONLINE