HULU TERENGGANU – Bermula dengan upah RM60, siapa sangka seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bukan sahaja mampu membuka syarikat sendiri, malah boleh mendapat sehingga RM3,500 dengan menjadi tukang cuci premis pelanggannya.
Muhammad Zuhdi Abu Bakar, 26, dari Kampung Langgar di sini berkata, segalanya bermula apabila dia mendapat tugasan membersihkan dua buah tandas di rumah pelanggannya di Kuala Terengganu ketika cuti semester empat tahun lalu.
Katanya, idea menjadi tukang cuci timbul kerana dia mahu mencari wang saku untuk membiayai pengajiannya pada tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Dakwah di UniSZA.
“Ketika itu saya hanya menggunakan peralatan asas dan bergerak dari rumah ke rumah. Tugasan pertama cuci dua buah tandas dengan upah RM60.
“Lama-kelamaan, perkhidmatan saya semakin berkembang hingga boleh menggajikan lima pekerja termasuk seorang berstatus tetap,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Menurut pelajar Ijazah Sarjana Alam Sekitar dan Pelancongan itu, setiap bulan dia menerima lebih 20 tugasan mencuci rumah, inap desa dan premis perniagaan dengan mengenakan caj antara RM180 hingga RM3,500 mengikut keluasan.
Penulis buku ilmiah berjudul Dinamika Alam Sekitar terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia itu menambah, ketika ini dia hanya fokus di empat daerah iaitu Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.
“Walaupun sibuk, saya tidak pernah mengabaikan pengajian di peringkat sarjana dengan membahagikan masa mengulangkaji pelajaran pada waktu malam,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Ujar Muhammad Zuhdi, dia berazam menyambung pelajaran hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah untuk mencapai cita-cita menjadi pensyarah.
“Begitupun, syarikat cucian saya tetap akan diteruskan. Harapan saya ia dapat menjadi medium menyediakan peluang pekerjaan terutama buat golongan B40 dan ibu tunggal,” katanya.
Muhammad Zuhdi berkata, beliau telah membuktikan pekerjaan sebagai tukang cuci walaupun nampak lekeh tetapi mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diuruskan dengan baik.