fbpx

Pekerja setia 33 tahun dapat hadiah SUV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setelah tiga dekad berkhidmat, Abe Sin menerima hadiah SUV tanda penghargaan daripada syarikat.

PETALING JAYA – Sebagai tanda meraikan perkhidmatan yang lama seorang pekerja, sebuah syarikat jualan kenderaan di Kelantan menghadiahkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepadanya sebagai tanda penghargaan.

Dalam satu hantaran di TikTok Perodua Nasrom, pekerjanya yang dikenali sebagai Abe Sin dilihat terkedu dan menahan sebak selepas mengetahui kenderaan tersebut merupakan miliknya.

“Setelah 33 tahun berkhidmat, tak terkata dapat hadiah Perodua Ativa dari syarikat,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Pemberian hadiah kereta jenis Perodua Ativa berwarna biru itu diberikan kepada pekerja tersebut sebagai tanda penghargaan buat dirinya yang sudah berkhidmat kepada syarikat berkenaan melebihi 3 dekad lamanya.

“Abe Sin dianggap seperti keluarga kami, dia ada sejak kami kecil lagi. Setia dan ikhlas,” tambahnya.

Perkongsian tular tersebut berjaya menyentuh hati pengguna media sosial yang turut terharu dengan pemberian itu.

“Kita tengok jadi sebak, dia sampai tak terkata. Allah sahaja yang tahu, dia gembira dan sedih bercampur baur. Tahniah Abe Sin,” komen seorang pengguna.

Dalam pada itu, ada juga beberapa pengguna yang memuji usaha murni majikan dalam menghargai pekerjanya yang telah setia berkhidmat.

“Majikan dia nampak baik sangat, susah nak jumpa majikan baik macam ini. Tahniah juga buat pekerja yang dapat hadiah itu. Semoga dimurahkan rezeki,” kata Nieyza.

“Untungnya dapat majikan yang menghargai pekerja yang telah berkhidmat lama. Menangis saya tengok video ini,” tulis Hana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI