TURIN – Nasib malang terus menimpa pemain tengah Juventus, Paul Pogba apabila digantung sementara selepas Agensi Anti Doping Itali (NADO Italia) mengesahkan dia positif doping bahan terlarang jenis testosterone.
Hasil itu didapati berdasarkan ujian yang dilakukan badan anti doping tersebut sewaktu Juventus menang 3-0 ke atas Udinese pada 20 Ogos lalu yang merupakan aksi pembukaan musim baharu Serie A.
Pogba, 30, ketika itu sekadar memanaskan bangku simpanan kerana masih belum mencapai tahap kecergasan terbaik ekoran kecederaan serius dialami musim lalu.
“Kelab berhak menimbangkan langkah seterusnya selepas ini,” menurut kenyataan daripada Juventus.
Jika didapati bersalah, bintang Perancis itu berdepan hukuman penggantungan antara tempoh dua hingga empat tahun dengan difahamkan dia kini sedang menanti keputusan daripada sampel B.
“Kami menunggu keputusan itu (sampel B), jadi tiada apa yang perlu dikatakan buat masa ini. Apa yang pasti, Pogba tidak pernah berniat melanggar apa-apa peraturan,” kata ejennya, Rafaela Pimenta.
Pogba kembali menyertai Juventus buat kali kedua dengan kontrak empat tahun sehingga Jun 2026 selepas meninggalkan Manchester United secara percuma pada Julai 2022.
Kepulangannya tidak berjalan lancar apabila Pogba dihimpit kecederaan termasuk perlu menjalani pembedahan lutut mengakibatkannya terlepas mewakili Perancis pada Piala Dunia Qatar 2022. – AGENSI