fbpx

Gempa Maghribi: Menanti bantuan tak kunjung tiba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai mangsa yang terselamat dalam gempa bumi kuat di Maghribi kini ketakutan kerana menyedari mereka terpaksa bergantung kepada diri sendiri untuk meneruskan kehidupan.

RABAT, Maghribi – Ramai mangsa yang terselamat dalam gempa bumi kuat di Maghribi kini ketakutan kerana menyedari mereka terpaksa bergantung kepada diri sendiri untuk meneruskan kehidupan.

Ramai antara mereka hilang kediaman, dilanda trauma dan berasa dipinggirkan oleh pihak berkuasa.

Gempa bumi dahsyat pada Jumaat lalu meletakkan bebanan yang begitu berat kepada sumber kecemasan negara rantau Afrika Utara itu, mengakibatkan ramai mangsa marah dan terkejut kerana bantuan lambat tiba.

“Kami diabaikan, tiada sesiapa pun datang membantu kami.

“Rumah kami runtuh, di mana kami harus tinggal?” soal Khadija Aitlkyd, 43, semasa melihat timbunan kemusnahan di kampungnya, Missirat yang terletak di kawasan pedalaman Banjaran Atlas kelmarin.

Penduduk kampung didiami 100 orang itu berkata, mayat 16 mangsa yang terkorban dalam gempa bumi telah dialihkan tetapi bangkai haiwan ternakan mereka masih tertimbus di bawah runtuhan batu dan kayu serta mula mereput dan membusuk.

Gegaran dahsyat yang meratakan seluruh kampung-kampung itu turut menyebabkan angka korban meningkat kepada lebih 2,800 orang kelmarin, manakala hampir 2,800 mangsa turut cedera.

Seorang lagi mangsa terselamat, Mohammed Bouaziz melihat kampungnya, Moulay Brahim di selatan kota Marrakesh musnah.

Kira-kira 20 penduduk Moulay Brahim terkorban dalam bencana kali ini yang dianggap gempa paling buruk sejak lebih 60 tahun lalu.

“Kami ada menerima bantuan tetapi ia tidak mencukupi,” kata lelaki berumur 29 tahun itu. Dia menyertai kumpulan aktivis yang berusaha memenuhi keperluan 600 penduduk kampung yang hilang tempat tinggal.

Berbekalkan bantuan pihak berkuasa tempatan dan penderma serantau, kumpulan dinamakan Intikala itu mendirikan sembilan kem daif dipenuhi wanita dan kanak-kanak sementara kaum lelaki memberi tumpuan kepada usaha mencari dan menyelamat mangsa.

Sebilangan lelaki yang berani masuk ke dalam kediaman dan struktur separa runtuh di Moulay Brahim untuk mengeluarkan barangan keperluan seperti tilam, selimut dan perkakas memasak yang masih sempurna.

Di sebuah lagi kampung, Missirat yang terletak sekitar 300 kilometer ke barat daya kota bersejarah Marrakesh, Mohamed Aitlkyd, 28, meninjau kawasan sekitar dan tidak melihat walaupun seorang pekerja bantuan kerajaan.

“Kali terakhir kami melihat pihak berkuasa adalah ketika mereka datang untuk mengira bilangan mangsa, beberapa jam selepas gempa bumi berlaku.

“Sejak itu, kami tidak melihat mereka lagi.Tiada seorang pun kakitangan bantuan berada di sini,” katanya.

Tiada ulasan pihak berkuasa tentang aduan penduduk Missirat tetapi kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan menguar-uarkan tentang usaha kerajaan membantu mangsa bencana itu.

“Pihak berkuasa meneruskan usaha untuk menyelamat, memindahkan penduduk dan menjaga mangsa yang cedera serta menggerakkan semua sumber yang ada,” katanya.

Selain kerajaan, konvoi bantuan persendirian membawa makanan, air dan selimut kerap dilihat di jalan-jalan pergunungan berliku dekat Missirat dan kampung-kampung lain di kawasan pedalaman.

“Kami di sini untuk membantu saudara (Islam) kami. Kami perlu membantu mereka,” kata peniaga kecil, Yahia Mansour di kerusi pemandu sebuah lori sarat membawa berpuluh-puluh buah tilam.

Namun, berdepan dengan kemusnahan sebegitu besar di banyak perkampungan, bantuan kerajaan dan persendirian dilihat masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan mangsa bencana. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI