KUALA SELANGOR – Seorang nelayan yang mendera isterinya sehingga mati awal bulan ini, berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Kuala Selangor, hari ini.
Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada T. Balamurugan, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju lokap ungu kelihatan sugul dan mengangguk faham sepanjang prosiding pertuduhan yang berlangsung selama lima minit itu.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa membunuh K. Komalah, 38, di sebuah rumah di Jalan Bagan Sungai Janggut, Jeram, di sini.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 11 pagi hingga 4.30 petang, 2 September lalu.
Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Jika tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri yang mengendalikan kes tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas tertuduh.
“Selain itu, pihak pendakwaan memohon tempoh bagi menyediakan dokumen atau laporan berkaitan kes berkenaan termasuk laporan forensik, kimia dan bedah siasat,” katanya.
Peguam Vinesh Segar yang mewakili Balamurugan memohon proses itu disegerakan dan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi secepat mungkin.
Siti Hajar kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi penyediaan laporan itu pada 13 Disember depan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita maut dipercayai akibat didera suaminya sendiri di sebuah rumah di sekitar Jeram.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai mangsa yang tidak sedarkan diri di lokasi itu daripada pegawai perubatan, kira-kira pukul 4 petang pada 2 September lalu.
Hasil pemeriksaan awal hospital mendapati terdapat kesan kecederaan pada mayat mangsa dan polis menahan lelaki itu bagi membantu siasatan.
Difahamkan, mangsa dipercayai dipukul hingga menyebabkan kecederaan pada anggota badan dan kaki. – KOSMO! ONLINE