fbpx

Mahkamah: Bekas jurujual dijel salah guna wang jualan kereta Bentley RM415,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Padah salah guna wang RM415,000 berhubung penjualan kereta mewah Bentley Continental GT milik peniaga warga China, seorang bekas jurujual kereta dipenjara setahun dan dua sebatan serta didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu terhadap Yap Hong Yee, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 9 September lalu selain dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Hong Ye didakwa menyalahgunakan wang RM415,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya hasil daripada jualan kenderaan milik Fan Zhongyang, 25, di Persiaran Mewah Bandar Tun Razak, Cheras di sini antara 3 November hingga 25 November 2022.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira nilai kerugian yang dialami mangsa.

“Ini kerana dalam kes ini, mangsa telah mengalami kerugian RM415,000,” katanya.

Bagaimanapun Hong Ye yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga seorang anak dan bapanya.

Mengikut fakta kes, mangsa telah berurusan dengan tertuduh dalam urusan jual beli kereta jenis Bentley Continental GT bernilai RM500,000 dan kereta itu dihantar kepada tertuduh untuk dijual.

Pada Februari tahun ini, tertuduh memaklumkan kereta itu telah mempunyai pembeli serta meminta mangsa menyerahkan nombor akaun banknya sebagai pembayaran wang pendahuluan, namun mangsa tidak menerima wang tersebut dan mengesyaki dia telah ditipu oleh tertuduh.

Berikutan itu, mangsa meminta tertuduh memulangkan kereta tersebut dan semakan nombor pendaftaran kenderaan itu mendapati kereta telah bertukar milik kepada pihak lain dengan menggunakan nombor pendaftaran lain.

Hasil siasatan polis mendapati tertuduh telah menyalahgunakan RM415,000 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI