fbpx

Mahkamah: Bapa dua anak mengaku tidak bersalah miliki wang palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kher Chun (tengah).

ALOR SETAR – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 25 keping wang RM100 palsu di sebuah rumah di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Loh Kher Chun, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Gunung Perak, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah, di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 3 September lalu.

Kesemua wang palsu itu memiliki nombor siri berbeza dengan tertuduh didakwa menyedari bahawa mata wang itu adalah palsu dan berniat untuk menggunakannya sebagai tulen.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Shaifuddin Mat Sulong.

Terdahulu, Nurfatin mencadangkan agar mahkamah menetapkan jumlah sebanyak RM15,000 sebagai kadar jaminan untuk tertuduh.

Shaifuddin kemudian memohon jaminan minimum memandangkan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap kerana baru diberhentikan kerja selain menanggung isteri serta dua anak.

Mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM7,000 dan 4 Oktober depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Bagaimanapun, tertuduh tidak membayar wang jaminan tersebut dan ditahan di Penjara Pokok Sena. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI