fbpx

Kenapa takut sasar pingat emas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD takraw kebangsaan tidak gentar menyasarkan satu pingat emas dan satu perak pada Sukan Asia Hangzhou, China bermula 23 September ini.

KEBERANIAN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menyasarkan satu pingat emas dan satu perak pada Sukan Asia Hangzhou, China bermula 23 September ini layak dipuji biarpun menyedari bakal dicabar hebat oleh Thailand.

Presidennya, Datuk Sumali Reduan berkeyakinan tinggi 12 pemain yang terpilih mampu menggapai impian itu walaupun kontinjen negara tiada sasaran khusus, hanya menyasarkan 27 pingat keseluruhan tanpa mengira warna.

Keyakinan itu berdasarkan pencapaian membanggakan Malaysia meraih pingat emas acara regu pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun sejak edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.

“Tidak kisah kali ini Thailand masuk atau tidak, kita tetap sasarkan emas kerana kita penyandang pada Sukan Asia 2018. Walaupun ada pihak tidak yakin tetapi saya tetap berkeyakinan tinggi.

“Tak cantik, tak eloklah kalau saya sasarkan perak kalau 2018 dulu kita menang emas. Saya bercakap berdasarkan keyakinan kerana saya percaya dengan semangat juang tinggi dan pengalaman pemain-pemain.

“Apa-apa boleh berlaku sebab dalam sukan tiada yang mustahil. Kenapa kita takut (sasar emas)? Saya sangat yakin dengan barisan pemain dan kejurulatihan, kita akan cuba sedaya upaya ke arah itu,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Titiwangsa malam kelmarin.

Tambahnya, keyakinan itu berlandaskan kepada sejarah regu negara pernah menumbangkan Thailand, sekali gus menggambarkan kejayaan sama mampu dicipta ke atas gergasi tersebut.

“Tidak mustahil sebab regu pertama negara pernah kalahkan Thailand untuk acara berpasukan pada Sukan SEA Vietnam. Maknanya ada peluang jika pemain-pemain turun dengan agresif dan semangat juang tinggi pada hari itu.

“Ada sejarah kita pernah kalahkan Thailand, maksudnya kita bila-bila masa boleh mengulangi persembahan pada waktu itu,” jelasnya yang tidak mahu maklumat senarai regu Malaysia bocor di tangan Thailand.

12 pemain terpilih ialah tekong, Syahir Rosdi, Zarif Marican Ibrahim Marican, Hairul Hazizi Hadzir, Haziq Hairul Nizam; apit kanan, Azlan Alias, Khairol Zaman Hamir Akhbar, Afifuddin Razali, Noraizat Nordin dan apit kiri, Amirul Zazwan Amir, Farhan Adam, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Zaim Razali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI