KANGAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengeluarkan sebanyak 597 notis saman ke atas penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan sejak 1 September lalu hingga semalam.
Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, notis saman itu dikeluarkan menerusi Ops Khas Motosikal dengan sebanyak 28 motosikal turut disita.
“Antara kesalahan yang menyebabkan motosikal itu disita adalah kerana tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor selain melakukan pengubahsuaian yang tidak dibenarkan.
“Motosikal disita antaranya kerana mengubah suai ekzos, tayar, sistem brek, mempamerkan nombor ‘fancy’ dan ubah suai enjin untuk menambah kelajuan,” katanya, di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya juga mengesan beberapa hot spot yang menjadi tumpuan penunggang motosikal untuk menduga kelajuan.
“Terdapat sebanyak empat lokasi dikenal pasti di negeri ini iaitu di Jalan Kuala Perlis – Pesisiran Pantai Kuala Sungai Baru, Jalan Utan Aji – Mengkuang Layar dan Jalan Kuala Perlis – Changlun serta Jalan Chuping – Kok Klang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE