fbpx

Ibu empat anak buntu, suami maut nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khai Loon (duduk, depan) bertanya khabar kepada bapa Nur Ammera ketika melakukan ziarah bersama wakil Perkeso di Machang Bubok, Bukit Mertajam baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Seorang ibu empat anak me­nempuh ujian berat selepas suaminya yang juga ketua keluarga meninggal dunia dalam kemala­ngan jalan raya di Alma, Bukit Mertajam pada bulan lalu.

Arwah Muhamad Firdaus Rosli, 36, yang bekerja sebagai penghantar barang meninggal dunia pada 30 Ogos lalu selepas bertarung nyawa hampir sebulan akibat cedera parah termasuk retak tempurung kepala.

Menurut Nur Ammera Atan, 32, pemergian arwah suaminya secara mengejut memberi kesan kepada kehidupannya lima beranak meman­dangkan dia merupakan seorang suri rumah. Selain membesarkan empat anak, wanita itu turut menjaga bapanya yang uzur.

“Saya mengakui, dari segi perbelanjaan bulanan memang terganggu sedikit kerana tiga daripada empat anak kami masih bersekolah manakala seorang lagi adalah bayi.

“Sebelum ini kami tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak atau organisasi dan hanya arwah suami yang mencari rezeki buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Machang Bubok, Bukit Mertajam baru-baru ini.

Nur Ammera memberitahu, suaminya terbabit dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan menghantar tempahan kepada pelanggan di Alma.

Jelasnya, selepas kematian suami, dia buntu, namun mujur keluarganya dan arwah suami banyak membantu melancarkan urusan seharian.

Sebelum itu, Nur Ammera dikunjungi Timbalan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang, Chiam Hong Lan ke kediamannya di Machang Bubuk, Bukit Mertajam di sini.

Hong Lan yang ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubok, Lee Khai Loon turut menyerahkan surat pembayaran pencen penakat atas nama arwah Muhamad Firdaus yang juga merupakan pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Antara faedah yang diterima adalah pencen bulanan selain faedah pengurusan jenazah RM2,000 secara one-off. Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank milik Nur Ammera 2007541000046310 atau menghubungi talian 011-6193 3350.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI