SHAH ALAM – Seorang wanita sanggup menggunakan nombor plat palsu semata-mata mahu mengelak motosikalnya ditarik kedai kerana gagal melunaskan bayaran bulanan.
Perkara itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang menahan wanita berusia 31 tahun berkenaan dalam Op Khas Motosikal di Plaza Tol Seri Muda, di sini kelmarin.
Timbalan Pengarah JPJ negeri, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, penunggang itu didapati menunggang Yamaha Y16 dalam operasi bermula pukul 8 pagi hingga 11.30 malam berkenaan.
“Semakan lanjut mendapati wanita itu memasang nombor pendaftaran kenderaan lain kerana takut motosikalnya ditarik kedai.
“Justeru, kita bertindak menyita motosikal berkenaan bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelas beliau, sejumlah 684 saman dikeluarkan pihaknya terutama melibatkan 196 kes kesalahan teknikal meliputi 167 kes lesen memandu kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (109), tiada insurans (106 kes) dan lain-lain kesalahan (106).
Tambah Ahmad Kamarunzaman, alasan penunggang motosikal tiada lesen memandu antaranya harga mahal dan tiada keperluan kerana jarak perjalanan atau lokasi berada berdekatan kawasan mereka. – KOSMO! ONLINE