ALMANCIL – Beraksi tanpa kelibat kapten, Cristiano Ronaldo yang digantung perlawanan langsung tidak mendatangkan masalah buat Portugal selepas membelasah Luxembourg 9-0 pada kelayakan Euro 2024 di Stadium Algarve awal pagi semalam.
Kemenangan terbesar yang diraih Portugal itu menyaksikan mereka mencatat rekod baharu kemenangan terbesar pasukan itu yang pernah dicatatkan dan semakin hampir untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Euro 2024.
Skuad kendalian Roberto Martinez itu menerajui saingan kelayakan Kumpulan J dengan 18 mata, lima mata meninggalkan pasukan kedua, Slovakia selepas memenangi semua enam aksi tanpa bolos dan meledak 24 gol setakat ini.
Pada perlawanan itu, Goncalo Inacio, Goncalo Ramos dan Diogo Jota masing-masing menjaringkan dua gol manakala tiga lagi gol dijaringkan Ricardo Horta, Bruno Fernandes dan Joao Felix.
“Secara jujur, kami masih berada di awal era jurulatih baharu, Roberto Martinez. Bagaimanapun, saya dapat melihat semua pemain dapat mempraktikkan idea beliau dalam perlawanan hari ini (semalam).
“Bagi saya, kemenangan ini akan menjadi penanda aras untuk pasukan pada perlawanan seterusnya. Saya percaya kami akan bertambah baik dari semasa ke semasa dan ia adalah sesuatu yang positif,” katanya.
Dalam pada itu, Horta memuji aksi yang ditampilkan rakan sepasukan selain menggesa pemain-pemain Portugal supaya mengekalkan rentak kemenangan menjelang aksi menentang Slovakia bulan depan.
“Kami memiliki satu kumpulan pemain yang sentiasa memandang serius setiap perlawanan. Memang benar kami berada di landasan terbaik, namun masih ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki kerana kami mahu sentiasa bermain seperti ini,” ujarnya. – AGENSI