fbpx

Dua pasangan kekasih dicekup jadi sindiket edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan (tengah) pada sidang akhbar tangkapan sindiket pengedaran dadah di IPD Timur Laut, hari ini. Foto IBQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Polis menahan dua pasangan kekasih bersama dua lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM102,293 dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah Timur Laut di sini, bermula 7 September sehingga semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, dalam kes pertama, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan teman wanitanya yang merupakan warga asing berumur 20 tahun selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

Katanya, kedua-dua mereka ditahan dalam serbuan di kawasan Persiaran Karpal Singh di sini, kira-kira pukul 7 petang pada 7 September lalu.

“Susulan penahanan pasangan kekasih itu, polis sekali lagi menyerbu sebuah rumah di Sungai Pinang pada 7.45 petang hari sama.

“Dalam serbuan itu, polis merampas dadah yang diisi di dalam 183 paket bungkusan minuman segera yang telah dicampur dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 4.21 kilogram (kg) yang bernilai RM64,050 di rumah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati pasangan kekasih itu menjadikan rumah tersebut sebagai tempat memproses dadah MDMA.

“Suspek dipercayai telah mencampurkan dadah dalam serbuk minuman segera serta membungkusnya semula sebelum diedarkan ke pusat hiburan atau pusat karaoke di sekitar daerah ini,” katanya.

Tambahnya, susulan penahanan pasangan kekasih itu, pada hari yang sama kira-kira pukul 11.30 malam, polis kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah.

“Lelaki ini ditahan di hadapan sebuah premis perniagaan di Pulau Tikus dan polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya 16 paket MDMA, ketamin, 30 biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM6,390.

“Ketiga-tiga mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mereka menjual setiap pek minuman segera pelbagai perisa itu dengan harga RM350 setiap paket,” katanya.

Dalam perkembangan sama, tangkapan kes kedua membabitkan penahanan sepasang kekasih warga tempatan yang masing-masing berusia 40 dan 26 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, semalam.

“Polis berjaya merampas ganja serta syabu bernilai RM25,950 dalam serbuan di sebuah rumah di sini, kira-kira pukul 5.30 petang.

“Pasangan kekasih ini ditahan bersama 526 gram (g) ganja serta 122g syabu dan mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini,” katanya polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun di tepi Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor dan merampas sebanyak 1,080 biji pil kuda bernilai RM5,903, semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI