KUCHING – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi jaminan akan membangkitkan kebimbangan dan keperluan rakyat Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.
Baginda bertitah, ia apabila baginda menerima pelbagai surat dan petisyen daripada orang ramai dalam sepanjang perjalanannya menyusuri Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
“Saya menerima beberapa surat, bukan aduan tetapi hanya meminta perkenan dan memohon jasa baik Yang di-Pertuan Agong.
“Percayalah, saya akan membaca semua surat dan petisyen yang dihantar kepada saya. Kita akan mengkaji dan akan membawanya kepada Kerajaan Persekutuan secepat mungkin. Itu saya akan usahakan,” titah baginda sempena Majlis Penutupan dan Santapan Malam Kembara Kenali Borneo anjuran Kerajaan Sarawak, di sini malam tadi.
Al-Sultan Abdullah juga bertitah, dalam sepanjang kembara itu, baginda menyedari bahawa penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini masih memerlukan keperluan asas.
Sementara itu, baginda turut menzahirkan hasrat akan kembali lagi ke Sarawak pada tahun 2030 apabila pembinaan semua lebuh raya dan infrastruktur di negeri ini siap sepenuhnya menjelang tujuh tahun lagi.
“Secara ringkas, sepanjang 2,192 kilometer (km) perjalanan saya setakat malam tadi (malam Selasa), jalan raya dan lebuh raya tetap ada. Kadangkala keadaan lebuh raya seperti di Dubai, namun kadang-kadang perjalanan seperti menaiki ‘roller coaster’.
“Namun saya dimaklumkan oleh menteri yang berkenaan dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa pihak kerajaan mempunyai perancangan dalam menyediakan dan melengkapkan semua kemudahan infrastruktur di negeri ini.
“Lebuh raya akan disiapkan dalam masa terdekat. Saya dimaklumkan dalam tahun 2026, 2028 hingga 2030 ia akan disiapkan sepenuhnya.
“Saya berharap ia akan dibina dengan baik, dengan adanya kualiti dan mudah-mudahan, kalau umur panjang, pada tahun 2030 saya akan kembali. Walaupun sudah tua sedikit, saya akan kembali,” titah baginda.
Sementara itu, konvoi Kembara Kenali Borneo selama 11 hari bermula pada 3 September di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano hari ini.
Ia meliputi jarak keseluruhan 2,154km di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo, menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei. – KOSMO! ONLINE