BAGAN SERAI – Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM485,000 setelah diperdaya sindiket penghantaran barang dan penyamaran sebagai anggota polis dengan menggunakan modus operandi phone scam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 72 tahun yang merupakan pesara swasta telah dihubungi oleh tiga orang suspek pada 4 Ogos lalu.
“Suspek pertama seorang lelaki yang tidak dikenali yang memperkenalkan dirinya daripada sebuah syarikat manakala suspek kedua dan ketiga menyamar sebagai pegawai polis bertugas di Ipoh dan Bukit Aman,” katanya hari ini.
Menurutnya, suspek pertama telah memaklumkan kepada mangsa terdapat satu bungkusan milik mangsa yang tidak berjaya dihantar mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan dan kad mesin juruwang automatik (ATM).
“Mangsa menafikannya namun panggilan itu disambungkan kepada suspek kedua dan seterusnya kepada suspek ketika yang kononnya pegawai polis bertugas di Bukit Aman.
“Suspek ketiga memperdayakan mangsa dengan dituduh terlibat kes pemerdagangan manusia dan penggubahan wang haram serta diugut akan ditangkap dan dipenjarakan,” katanya.
Mohd. Yusri berkata, mangsa ketakutan lalu bertindak mengikut arahan suspek dengan memindahkan kesemua wang miliknya ke dalam akaun yang telah diberikan bagi mengelakkan daripada wang dibekukan dan dirampas.
“Mangsa telah melakukan sebanyak 34 transaksi pindahan wang di mesin ATM sekitar daerah Kerian dan Nibong Tebal ke dalam 11 akaun bank milik individu bermula dari 8 Ogos hingga 6 September lalu.
“Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu setelah perbuatannya dicurigai oleh anak saudara yang datang melawat sewaktu mangsa ingin keluar membuat pemindahan wang berikutnya,” katanya.
Tambahnya, mangsa telah menceritakan kepada keluarga setelah didesak lalu membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Dianggarkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM485,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE