fbpx

Trauma leher diacu pisau, diheret penyamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Liza menunjukkan laporan polis mengenai kejadian itu di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor hari ini. - Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO!

KLANG – Seorang wanita menempuh detik getir apabila lehernya diacukan pisau oleh penjenayah yang menyamun dan memecah masuk rumahnya di sekitar Taman Sri Andalas di sini, kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Liza, 49, berkata ketika kejadian dia bersama kakak, ibu saudara dan seorang rakan sedang menyiapkan sarapan kira-kira pukul 8.45 pagi.

Menurutnya yang masih bujang, dia kemudian mahu mandi di bilknya di tingkat atas rumah pusaka tersebut.

“Namun, saya terkejut melihat seorang lelaki menutup mukanya dengan baju di depan sebuah bilik tetamu.

“Lelaki itu kemudian meletakkan pisau di leher saya dan mengheret turun sambil meminta wang kerana mendakwa mahu membantu ibunya sakit di hospital,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Jelas Liza, dia ketika itu hanya mampu menangis ketakutan dan meminta supaya dilepaskan suspek dengan ibu saudara yang menyedari kejadian itu terus keluar rumah dan menjerit meminta bantuan jiran berdekatan.

“Suspek kemudiannya panik sebelum melarikan diri. Selain telefon bimbit, dua cincin emas dan lima jam tangan, dua tabung syiling telah berjaya dicuri suspek dengan nilai kerugian dianggarkan RM8,000,” ujarnya.

Bercerita lanjut, Liza yang berhenti kerja selepas mengalami masalah penglihatan memaklumkan suspek dipercayai memecah masuk menerus tingkap sebuah bilik di aras atas rumahnya.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun trauma dengan kejadian itu. Laporan polis telah dibuat ibu saudaranya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi tindakan lanjut.

“Ini kali kedua rumah yang didiami lebih 30 tahun ini dipecah masuk dengan kejadian pertama pada tujuh tahun lalu ketika kami tiada di rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI